Tuesday, 25 December 2012

10 Diet Kegemaran Artis Hollywood

Adakah anda ingin menjadi kurus seperti Beyonce, Jennifer Anniston atau bintang Hollywood lain yang mempunyai pinggang yang ramping serta bentuk badan yang cantik. Artikel ini akan membincangkan diet fad yang diamalkan oleh para artis Hollywood ini, malah mungkin ada di antaranya yang tidak masuk akal dan tidak pernah kita dengar sebelum ini. Anda patut berfikir semula jika anda ingin mengikuti diet yang diamalkan oleh para artis ini.

1.       Diet makanan bayi


Diet ini memerlukan seseorang untuk memakan makanan bayi iaitu makanan yang telah  dilenyek dan puri (isi buah-buahan dan sayur-sayuran). Diet ini dicipta oleh Tracy Anderson, seorang jurulatih selebriti. Beliau percaya bahawa ia mampu mengawal ketagihan, menjanjikan penurunan berat badan, serta mudah disediakan. Diet ini diikuti oleh Jennifer Aniston dan Reese Witherspoon.

2.       Master cleanse
                 

Ia merupakan sejenis diet julap ‘laxative diet’ atau diet detox (nyah toksin) yang membolehkan seseorang untuk hilang berat badan dengan sangat cepat seperti yang diamalkan oleh Beyonce. Diet ini termasuk jus lemon, sirap maple, cili merah dan air bersama julap pada waktu pagi dan malam selama 14 hari. 

3.       Diet limau gedang (grapefruit)


Ia amat popular di kalangan Hollywood artis seperti Kylie Minogue dan Brooke Shields. Limau gedang dimakan bersama protein dan ini mampu merangsang pembakaran lemak serta penurunan berat badan yang cepat. 12 hari diperlukan untuk menghilangkan berat sebanyak 5kg. Di samping itu, anda disarankan untuk memakan makanan yang kurang karbohidrat, kurang calorie, lebihkan protein serta banyakkan juz limau gedang ini dan jangan makan atau ‘snacking’ di antara hidangan utama (sarapan, makan tengah hari dan malam). 

4.       Diet biskut
                  

Kim Kardashian merupakan salah seorang pengamal diet ini. Diet ini difahamkan dicipta oleh Dr. Steal yang menghasilkan biskut ini untuk membantu pesakitnya menghilangkan berat badan. Biskut tersebut mengandungi amino asid yang berfungsi untuk menahan rasa lapar dan penuh dengan fiber yang membantu melambatkan pencernaan supaya anda berasa kenyang dengan lebih lama. Diet ini menyarankan pemakanan protein tanpa lemak terutamanya dari sumber haiwan seperti ayam tanpa kulit (sumber lemak) serta sayur-sayuran untuk dimakan ketika makan malam bersama 6-8 biskut sehari (800-1500 kalori sehari).

5.       Diet 7 hari warna


Penggemar diet pelbagai warna ini antaranya ialah Christina Aguilera. Makanan berbeza warna hendaklah diamalkan pada setiap hari (1 hari 1 warna). sebagai contoh, Isnin adalah putih, Khamis adalah oren dan Ahad adalah hari untuk pelbagai warna (warna pelangi). Tiada spesifik makanan yang disyorkan, yang penting adalah makanan tersebut mestilah sihat. Diet ini tidak menjanjikan penurunan berat badan namun ia menggalakkan tentang kepentingan makanan tersebut serta mendedahkan  pengamalnya kepada kepelbagaian makanan yang boleh dipilih.

6.       Diet pelangi


Diet ini menggalakkan memakan banyak buah-buahan serta sayur-sayuran sekurang-kurangnya 1-2 hidangan daripada setiap warna pada setiap hari. Sebagai contoh, sawi tergolong dalam warna hijau, strawberri dalam kumpulan merah dan lain-lain lagi. Diet ini diamalkan oleh Reese Witherspoon.

7.       Diet 3 jam


Artis Hollywood seperti Jessica Biel dan Heidi Klum antara yang mengamalkan diet ini. Pengamal mestilah makan pada setiap 3 jam selepas bangun tidur dan 3 jam sebelum tidur (malam) termasuk 3 hidangan dan 2 snek. Sekiranya anda mengamalkan diet ini, anda mungkin akan hilang 1kg dalam 1 minggu.

8.       Diet sup kobis


Ia merupakan salah satu diet yang paling popular dikalangan artis Hollywood antaranya ialah Sarah Michelle Giller. Diet yang membosankan ini dikatakan mampu menghilangkan berat badan sehingga 5kg dalam masa 7 hari jika turut mengamalkan makanan yang rendah lemak dan tinggi fiber. Ia amat membosankan kerana anda terpaksa makan sup kobis dalam kuantiti yang banyak untuk menghilangkan berat dengan banyak. 

9.       Diet makrobiotik
        

Diet ini diamalkan Gwyneth Paltrow dan juga Madonna. Tiada makanan yang diproses seperti makanan di dalam tin dan sedikit produk makanan daripada haiwan terdapat di dalam diet ini. Makanan yang difokuskan ialah bijirin, sayur serta buah yang mengandungi banyak fiber.  Diet ini juga popular dikalangan mereka yang percaya bahawa diet ini mampu menyembuhkan pelbagai penyakit walaupun tidak dapat dibuktikan keberkesanannya.

10.   Diet jenis darah


Buku Eat Right for Your Type yang dikarang oleh Dr. Peter D’Adamo menyatakan bahawa mereka yang mengamalkan diet jenis darah ini mampu mengahalang diserang penyakit seperti kanser dan sakit jantung. Walaupun diet ini tidak bertujuan untuk menurunkan berat badan namun ia popular di kalangan artis seperti Jennifer Lopez, Elizabeth Hurley, dan Gwyneth Paltrow yang pernah mencubanya.

Monday, 24 December 2012

Jenis-jenis Diet Fad

Di dalam dunia yang serba moden ini, orang ramai telah mula sedar tentang perlunya menjaga kesihatan dan berat badan. Namun ramai orang mengambil jalan mudah untuk menguruskan berta badan dengan mengikuti pelbagai diet fad yang telah tumbuh seperti cendawan dan mudah didapati dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang seperti internet yang memudahkan orang ramai mengakses maklumat mengenai diet fad tanpa mengetahui kebaikan dan keburukannya secara terperinci dan mendapat bantuan daripada yang pakar. Di bawah disenaraikan beberapa diet fad yang terdapat di dunia ini dan diharap dapat membantu anda membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum memilih untuk mengamalkan diet tersebut.

Diet fad
Penerangan
Diet HCG
Pengamal perlu mengurangkan pengambilan makanan hanya 500 kalori berbanding yang disarankan, minimum pengurangan tenaga hanya 1200 kalori. Pengamal juga perlu mengambil suntikan hormon choriogonadotropin (HCG) yang dikatakan membantu penguranagn berat badan. FDA hanya membenarkan suntikan inikepada wanita yang mengalami masalah kesuburan sahaja dan bukan untuk kurangkan berat.
Diet Atkin
Terdiri daripada diet yang tinggi protein dan lemak serta carbohydrate yang sangat rendah. Ia juga dipanggil diet ketogenic disebabkan ketone yang terkumpul dihasilkan oleh pencernaan lemak. Mengamalkan diet ini dalam jangka masa panjang akan menyebabkan beberapa kesan negatif seperti penyakit jantung, kanser, batu karang dan macam lagi.
Diet Dukan
Diet yang rendah kalori dan tinggi lemak. Beberapa makanan sihat buah-buahan, bijian dan kekacang mesti disekat pemakanan namun daging, ayam, telur, soya dan hasil tenusu sangat digalakkan disebabkan kandungan protein yang tinggi. Pesakit gout, tinggi kolestrol, penyakit buah pinggang dan masalah pemakanan tidak digalakkan untuk mengamalkan diet ini.
Diet Mayo Clinic
Tertumpu kepada makanan yang rendah kalori. Ia amat membantu dalam menjaga kesihatan dalam jangka masa panjang tetapi diet ini tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang bukan vegetarian kerana pengamal tidak boleh makan daging dan ayam selain menggalakan buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa had juga ketika snacking.
Diet South Beach
Tujuan asal diet ini ialah untuk mereka yang mempunyai penyakit jantung namun turut diamalkan oleh mereka yang ingin menurutkan berat. Makanan yang disarankan mengikut indek glycaemik (GI) selain membahagikan karbohidrat kepada baik dan jahat. Mengurangkan karbohidrat jahat membantu badan memetabolismakan makanan dengan berkesan selain mengurangkan berat. Ia tidak digalakkan untuk mereka yang tidak boleh makan hasil tenusu kerana kacang soya turut disekat pada fasa yang pertama (2 minggu pertama).
Diet Mediterranean
Diamalkan oleh mereka yang tinggal di kawasan Mediteranean seperti Negara Itali, Greece, Perancis, Portugal, Sepanyol, Utara Afrika serta kawasan Timur Tengah. Pengamal digalakkan memakan minyak zaitun, tumbuhan tempatan yang segar dan tidak diproses (buah, sayur, bijian, kekacang, roti bijian penuh) dan air. Diet ini mungkin susah diamalkan kerana sumber yang susah didapati seperti minyak zaitun berbanding negara di atas yang mana buah zaitun boleh didapati di mana-mana sahaja.
Diet Flat Belly
Fokus kepada mereka yang ingin menghilangkan lemak di bahagian perut dengan mengurangkan pengambilan lemak tepu dan menggantikannya dengan lemak mono tak tepu (MUFA) yang lebih sihat. Pengamal mestilah menagamalkan diet Mediterannean sebanyak 1600 kalori. Namun, diet ini hanya tertumpu kepada pengambilan MUFA selain tidak menggalakkan bersenam untuk menurunkan berat.  Selain itu, terdapat kurang penyelidikan mengenai “air sassy” yang disyorkan di dalam diet ini.
Diet Weight Watcher
Menggalakkan diet yang rendah kalori. Pilihan makanan terdiri daripada senarai sistem pertukaran makanan yang dihasilkan oleh perbadanan Weight Watcher yang menentukan sesuatu nilai makanan tersebut. Pengiraan kalori/mata mempuyai limit yang tersendiri selain mengambil masa yang banyak untuk mengira setiap makanan yang dimakan. Pengamal juga perlu menghadiri kelas yang dijalankan oleh pihak Weight Watcher dan ia melibatkan kos yang tinggi.
Diet Zone
Karbohidrat, protein dan lemak hendaklah dibahagikan mengikut nisbah 40:30:30 (40% karbohidrat, 30% protein, 30% lemak) dan tidak membiarkan perut kosong (tidak  makan) melebihi 4-5 jam . Nisbah ini terpakai untuk semua waktu makan. Pengamal mestilah mengamalkan makanan yang digalakkan dan meninggalkan makanan yang tidak digalakkan di dalam setiap kategori (Karbohidrat, protein, lemak).  Diet ini mengesyorkan makanan yang tinggi protein, lemak dan kolestrol. 
Diet Paleolitik
Berdasarkan diet pada zaman sebelum prasejarah iaitu tumbuhan yang tumbuh secara organik dan haiwan yang meragut rumput sahaja kerana dikatakan mengandungi lebih omega 3 berbanding yang diberi makan bijirin selain tidak menggunakan perisa tambahan serta elak daripada memakan bijirin, kentang dan kekacang kerana mengandungi nutrien anti (alpha-amylase inhibitors, protease inhibitors) serta toksin yang hanya boleh dihapuskan oleh suhu yang tinggi. Walaubagaimanapun, diet ini menyekat hasil tenusu dan menyebabkan kurang kalsium diserap oleh tubuh.

Diet Fad???

Apa itu “diet fad”

Diet fad atau diet kegemaran merupakan cara pemakanan yang paling popular. Tiada maksud yang tetap untuk menggambarkan ‘diet fad’ yang sebenar. Diet kegemaran ini selalu menjanjikan penurunan berat badan yang cepat tanpa memerlukan masa yang lama namun ia boleh ditakrifkan dengan bersifat sementara. Oleh yang demikian, diet ini tidak berkesan untuk mengekalkan berat badan yang ideal dalam jangka masa yang lama selain mendatangkan kesan buruk yang mampu memudaratkan pengamalnya. Ia amat berbeza dengan amalan jangka panjang yang disarankan oleh panduan pemakanan Malaysia (MDG 2010) yang menggabungkan perlakuan, pemakanan dan aktiviti untuk menurunkan badan dengan selamat selain menjalani kehidupan yang sihat.

Keburukan diet fad


1.       Pertambahan berat badan
Diet fad sering mendakwa bahawa diet tersebut mampu munurunkan berat badan dengan cepat tanpa perlu melalui usaha yang banyak. Walaupun kenyataan ini mampu menarik minat orang ramai, namun kesan sebenar diet fad adalah mencurigakan. Pakar kesihatan telah menyatakan bahawa cara untuk menurunkan berat badan yang ideal adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam dan diet yang seimbang dalam jangka masa lama. Apa yang penting, sesuatu perubahan memerlukan masa yang lama dan bukan dengan mengambil jalan yang singkat. Berat badan akan hilang seperti yang dijanjikan dalam sesebuah diet fad namun berat yang hilang kebanyakannya adalah air di dalam badan dan bukannya lemak. Sekiranya seseorang itu berhenti mengamalkan diet tersebut dan kembali ke kehidupan yang asal, berat badan akan bertambah dengan pantas malah mungkin lebih berat berbanding berat yang terdahulu. Ini kerana, pada ketika itu tubuh mula untuk mengimbangi kandungan air yang hilang di dalam tubuh.

2.       Kadar metabolism berubah

Sesetengah diet fad yang menyuruh si pengamal untuk memakan jumlah makanan dalam kuantiti serta jadual yang ditetapkan mungkin menganggu sistem metabolisma semula jadi di dalam tubuh iaitu kemampuan memberitahu tubuh waktu untuk mula (lapar) dan berhenti makan secara semulajadi. Jika proses ini terganggu, ia akan memudaratkan tubuh dan akan berlarutan dalam jangka masa yang lama selepas berhenti mengamalkan diet tersebut.

3.       Kekurangan zat makanan

Diet fad selalunya melarang pengamalnya untuk mengambil sesetengah nutrient yang penting untuk tubuh badan seperti karbohidrat dan lemak. Karbohidrat atau glukosa merupakan sumber tenaga yang utama terutama bagi kawasan otak bagi mengelakkan rasa letih dan tubuh dapat berfungsi dengan baik.  Untuk pengetahuan, bukan semua lemak adalah tidak baik. Sesetengah lemak adalah bagus untuk tubuh seperti lemak tunggal tidak tepu (MUFA) serta lemak poli tidak tepu (PUFA) yang membantu untuk mengurangkan kolestrol di dalam badan. Selain itu, omega-3 dan omega-6 yang tergolong di dalam kumpulan PUFA penting untuk menghasilkan DHA, EPA, dan nutrient yang lain untuk kesihatan otak dan mata selain mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit yang berbahaya seperti penyakit jantung, kanser, Alzheimer, arthritis dan kemurungan.

4.       Kehilangan rambut dan otot
Kekurangan zat terutama protein akan menyebabkan rambut gugur dan otot hilang. Rambut yang tidak sihat akibat kurangnya pemakanan protein akan mengakibatkan terhasilnya rambut rapuh seterusnya menyebabkan rambut tersebut pecah dan gugur. Selain itu, kehilangan otot turut disebabkan oleh kekurangan protein melalui pengamalan diet fad. Oleh kerana diet fad mengandungi kalori yang rendah akibat pengurangan beberapa zat seperti karbohidrat dan lemak, badan terpaksa menggunakan sumber zat yang lain di dalam tubuh untuk ditukar menjadi tenaga. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan protein yang tersimpan di dalam otot. Menghilangkan berat badan melalui cara ini amat berbahaya kepada tubuh kerana otot terpaksa bekerja untuk mengeluarkan protein walaupun ketika berehat. Selain itu, penghasilan ketone yang terjadi daripada pertukaran tenaga selain daripada karbohidrat (lemak dan protein) sangat berbahaya kepada tubuh kerana menyebabkan penyakit buah pinggang terutamanya.

Langkah-langkah untuk mengenal pasti “fad diet”

·         Ia mendakwa dapat menurunkan berat badan dengan pantas
·         Dakwaan yang terlalu bagus untuk benar-benar berlaku
·         Makanan dibahagikan kepada ‘baik ‘ dan ‘buruk’
·         Memerlukan vitamin dan mineral serta produk makanan tambahan
·         Menolak kumpulan makanan utama (bijirin, lemak, susu, buah-buahan dan sayur-sayuran)
·       Kekurangan kajian saintifik untuk menyokong keberkesanan dan keselamatan sesebuah diet
·         Menolak zat makanan yang penting seperti karbohidrat, protein dan lemak
·         Tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau bersukan
·         Dicipta oleh seseorang yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan berat badan

Sesebuah diet bergantung kepada penghalangan satu atau lebih sesetengah zat pemakanan sebagai asas kepada diet tersebut. Malah, terdapat diet yang membenarkan kumpulan makanan dan nutrien dalam kuantiti yang banyak atau tanpa halangan. Walau bagaimanapun, pengurangan kalori atau tenaga daripada apa yang badan perlukan menjadi faktor penting atau penyebab di dalam sesebuah diet untuk menurunkan berat. Oleh itu, diet yang mendakwa sebaliknya mungkin akan menyebabkan pertambahan berat.

Pengurusan berat yang berkesan bergantung kepada:




ü  Pemakanan yang sihat mengikut panduan Malaysia Dietary Guidelines (MDG 2010)
ü  Pengurangan kalori
ü  Mengurangkan pemakanan lemak (lemak tepu dan lemak trans)
ü  Meningkatkan pemakanan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin penuh
ü  Meningkatkan jumlah aktiviti (sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari)
ü  Melakukan sekurang-kurangnya aktiviti yang sederhana (contoh: berkebun, berbasikal, aerobic)

Secara keseluruhan, cara terbaik untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya dengan baik adalah dengan menggabungkan diet yang seimbang serta aktiviti fizikal yang yang berterusan seperti yang disarankan di atas. Tiada istilah makanan yang baik mahupun buruk serta meninggalkan sesetengah nutrien dan mengamalkan nutrien yang lain. Apa yang penting ialah amalan pemakanan itu sendiri iaitu apa dan bagaimana anda makan. Selain itu, mengamalkan kesederhanaan dan mempelbagaikan jenis makanan juga penting untuk menjalani kehidupan yang sihat. 

Mitos Diet !!!!

Adakah anda ingin mengetahui mengenai mitos-mitos diet yang sering kita dengar pada hari ini yang dikatakan mampu menguruskan badan anda?? Beberapa mitos akan dibincangkan di bawah dan mungkin ada di antaranya anda percaya dan sedang mengamalkannya ataupun mungkin anda pernah mendengarnya daripada daripada kawan anda ataupun orang lain.

Mitos 1: Kentang, roti, pasta dan nasi (makanan tinggi karbohidrat) adalah menggemukkan


Fakta: Makanan tinggi karbohidrat dikatakan menggemukkan hasil daripada kejayaan beberapa diet fad seperti diet Atkin yang mengutamakan makanan yang rendah karbohidrat. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang mengatakan bahawa makanan kaya dengan karbohidrat menggalakkan peningkatan berat badan. Faktor utama ialah lebihan kalori yang kita makan pada setiap hari yang menyumbang kepada peningkatan tersebut dan bukannya disebabkan oleh pemakanan karbohidrat. Selain itu, tambahan lemak yang dimakan bersama karbohidrat seperti roti bersama mentega dan kentang goreng bersama sos keju turut terlibat dalam lebihan kalori di dalam makanan seharian kita.

Tip diet: Makanan tinggi serat (fibre) seperti roti bijian penuh, beras perang dan oat merupakan pilihan terbaik bagi menggantikan makanan yang rendah fibre seperti roti putih kerana ia membantu anda berasa kenyang dengan lebih lama. Dengan ini, ia dapat mengurangkan pengambilan makanan dalam jangka masa yang lama.

Mitos 2: Gen gemuk boleh diwarisi


Fakta: Saintis dapat mengenal pasti bahawa seseorang yang mengalami masalah kegemukan mungkin disebabkan oleh masalah genetik tetapai kenyataan ini hanya terbukti kepada sejumlah orang yang kecil sahaja. Walaupun gen ini turut memainkan peranan dalam menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kegemukan namun para pakar tidak dapat mengenal pasti penyebab sebenar kepada peningkatan pesat masalah obesiti pada zaman sekarang. Masalah genetik mungkin turut menyumbang kepada masalah ini namun anak-anak bukan sahaja mewarisi genetik tersebut tetapi turut mewarisi pemakanan yang tidak sihat serta kurang aktiviti fizikal daripada ibu bapa mereka. Disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat ini, masalah obesiti terus meningkat dengan banyak.

Tip diet: Membuat perubahan terhadap gaya hidup seperti selalu bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat mengikut yang disarankan oleh Garis Panduan Pemakanan Malaysia (MDG 2010) merupakan langkah penting dalam menurunkan statistik obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia. Perubahan ini lebih baik jika dilakukan bersama ahli keluarga berbanding melakukannya sendirian.

Mitos 3: Berdiet tidak membantu dalam menguruskan badan


Fakta: Pada dasarnya, mengurangkan pengambilan kalori daripada apa yang badan kita perlukan dapat membantu mambakar lemak yang terkumpul di dalam badan seterusnya mengurangkan berat badan. Namun, diet yang ekstrem seperti menyekat pengambilan makanan kegemaran, mengambil sedikit makanan selain mengambil makanan yang sangat rendah kalori hanya menyebabkan anda berasa lapar. Lama kelamaan, anda akan berputus asa untuk meneruskan diet tersebut disebabkan banyak sekatan yang terpaksa dilakukan. Akhirnya, anda akan memberitahu anda sendiri bahawa diet tersebut tidak menjadi.

Tip diet: Diet yang seimbang sangat berguna kerana ia membolehkan anda menikmati pelbagai jenis makanan kegemaran anda asalkan anda tahu had-had yang ditetapkan seperti mengurangkan makanan yang tinggi lemak tepu, lemak trans serta tinggi gula. Di samping itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan tidak lebih daripada 0.1-1.0 kg seminggu untuk mendapatkan berat secara sihat. Ia dapat dilaksanakan dengan megurangkan pengambilan kalori sebanyak 500 kalori sehari.

Mitos 4: Diet vegetarian dapat membantu menurunkan berat badan


Fakta: Diet vegetarian terdiri daripada rendah kalori, kurang lemak dan tinggi serat. Walau bagaimanapun, jika diet ini tidak dirancang dengan betul, ia mungkin terdiri daripada lemak dan kalori yang tinggi seperti mereka yang memakan daging. Ini kerana, mereka yang mengamalkan diet vegetarian ini akan memakan kentang goreng, kek, gula-gula, coklat, biskut dan makanan bergoreng yang ternyata mengandungi banyak lemak dan kalori.

Tip diet: Tidak kisah sekiranya anda merupakan pengamal diet vegetarian ataupun tidak, yang penting sekali anda mestilah mengikuti panduan pemakanan yang sihat  iaitu mengamalkan makanan yang tinggi serat, rendah kandungan lemak seperti kekacang dan soya serta memastikan makanan yang berlemak dan bergula dalam kuantiti yang minimum.

Mitos 5: Teh hijau membantu mengurangkan berat badan


Fakta: Dipercayai bahawa teh hijau mampu meningkatkan kadar metabolisma tubuh. Oleh itu, ia mempercepatkan proses pembakaran lemak dan menggalakkan penurunan berat. Walau bagaimanapun, kesannya adalah begitu kecil dan kebarangkalian untuk menyebabkan penurunan berat tidak dapat dikenal pasti.

Tip diet: Bagi mereka yang suka minum teh hijau ini masih dapat meneruskan pengamalannya tetapi tidak dicampur susu atau gula untuk dijadikan sebagai minuman yang berkhasiat. Jangan bergantung kepada pengamalan teh hijau sahaja untuk menurunkan berat badan.

Mitos 6: Diet yang tinggi protein atau rendah karbohidrat adalah cara terbaik untuk menghilangkan berat badan


Fakta: Diet tinggi protein/rendah karbohidrat termasuk daging, ayam, telur dan mentega dalam jumlah yang banyak selain mengehadkan makanan yang tinggi karbohidrat seperti bijirin, kekacang, buah-buahan, nasi, kentang dan sayuran berkanji. Diet ini terhasil berdasarkan teori bahawa sekiranya anda mengambil sedikit makanan berkarbohidrat, badan akan membakar simpanan tenaga/karbohidrat (glycogen) serta lemak. Dengan ini, anda dapat mengurangkan berat yang berlebihan. Hakikatnya, diet ini hanya menyebabkan anda kehilangan berat daripada air yang hilang dari dalam badan dan bukannya daripada lemak. Selain itu, ketone yang terbentuk akan terkumpul di dalam saluran darah dan seterusnya menyebabkan dehidrasi, pening kepala, muntah, kepenatan, lemah dan nafas yang berbau. Di samping itu, anda juga akan kekurangan vitamin dan mineral disebabkan oleh kurangnya pengambilan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kesan diet merupakan penyebab penyakit gout, kurangnya simpanan kalsium serta pengumpulan lemak di dalam badan yang menjadi kebimbangan selain kajian yang menunjukkan bahawa diet ini tidak mampu bertahan untuk jangka masa yang lama. Akibatnya, anda akan kembali kepada berat yang asal atau mungkin lebih dari yang sebelumnya.

Tip diet: Yang penting untuk seseorang itu adalah untuk mengamalkan diet yang sihat dan seimbang selain selau bersenam atau melakukan aktiviti fizikal secara kerap supaya dapat menurunkan berat kepada berat yang ideal dan dapat mengekalkan berat tersebut untuk jangka masa yang lama. Jangan terpengaruh dengan diet fad yang tidak diketahui tentang kebaikan dan keburukan yang sepatutnya.

Mitos 7: Hanya makanan yang rendah lemak sepatutnya diamalkan untuk kurus

Low fat diet by USDA

Fakta: Lemak adalah nutrient yang mengandungi kalori yang padat (1 gram lemak mengandungi 9 kilokalori). Ia amat digalakkan untuk mengurangkan pengambilan lemak tetapi ia bukan satu-satunya jalan untuk menguruskan badan. Lemak amat membantu untuk memberi rasa dan kepuasan kepada anda apabila makan sesuatu makanan seperti ayam sambal atau ayam masak lemak cili api. Disebabkan minyak dan santan yang digunakan di dalam masakan inilah yang menambahkan kesedapan sesuatu makanan berbanding makanan yang yang tidak dicampur dengan lemak. Walaupun anda makan makanan yang rendah lemak, anda mungkin menambah gula ataupun perisa tambahan yang akibatnya pertambahan kalori di dalam sesebuah makanan.

Tip diet: Anda mestilah sentiasa rajin label makanan dan hanya memilih makanan yang mengandungi kurang kalori. Selain itu, anda masih boleh menggunakan minyak masak ataupun santan dalam penyediaan makanan anda tetapi untuk menyediakan makanan yang sihat anda mengubah cara masakan ataupun menukar minyak yang digunakan daripada minyak sawit kepada minyak zaitun manakala santan boleh digantikan kepada susu sejat.

Mitos 8: Kobis dan limau gedang dapat membantu membakar lemak di dalam badan

Fakta: Fad diet iaitu diet sup kobis dan diet limau gedang yang dikatakan dapat menurunkan berat badan dengan memakan makanan ini dalam kuantiti yang banyak. Untuk pengetahuan, tiada satu makanan pun yang mampu membakar lemak. Kafein mungkin dapat membantu meningkatkan kadar metabolisma tubuh (kadar yang menunjukkan badan meggunakan kalori) untuk jangka masa yang pendek tetapi ia tidak cukup memberi impak dalam menurunkan berat dengan berkesan.

Tip diet: Kaedah terbaik untuk menurunkan berat adalah dengan mengamalkan makanan yang seimbang serta banyakkan bersenam.

Rujukan:

1.       Dieting myths uncovered
2.       Myths and facts about dieting for weight loss

Sunday, 23 December 2012

Cara Memilih Makanan yang Sihat di Sekolah



Seperti yang kita ketahui, isu hangat yang diperkatankan kebelakangani ini mengenai makanan kantin tidak sihat. Pemilihan makanan yang tidak seimbang dan salah boleh menggangu proses pembelajaran mereka. Tambahan pula, kandungan kalori yang tinggi dalam hidangan boleh meningkatkan peratus obesiti dalam kalangan pelajar-pelajar.
Bagaimanakan cara untuk mengajar mereka untuk memilih makanan yang sesuai dan lebih berkhasiat apabila membeli snek pada waktu rehat di kantin sekolah? Disini terdapat beberapa cara yang boleh kita ikuti untuk mendidik meraka dalam memilih snek ataupun makanan di kantin sekolah:

                        1.      Galakkan anak-anak anda lebih kerap mengambil makanan ini:
·      Snek yang kurang beminyak dan kurang manis, tetapi membekalkan nutrien, yang berguna, seperti sandwic dengan inti telur,ayam, sardin atau tuna, kuih apam, pau kukus, atau mihun sup dengan sayuran dan daging. Buah-buahan seperti pisang, jambu batu dan epal juga merupakan pilihan yang terbaik.
·      Minuman kurang manis adn berkhasiat juga boleh diambil. Antaranya adalah susu(termasuk yang berperisa), susu kacang soya, jus buah-buahan segar, dan minuman yogurt.

                        2.      Ajar anak-anak anda supaya mengambil makanan ini sekali-sekala 
                             (hadkan kepada 1-2 kali seminggu)                   
·    Nasi lemak, nasi goreng atau mi/mihun/kuihteow goreng,dan mi kari.
·   Makanan ini boleh diambil sesekali kerana ianya membekalkan beberapa nutrien penting,tetapi mengandungi lemak yang tinggi. Nasihatkan anak anda supaya makan hidangan kecil sahaja (atau separuh).

                        3.      Ajar anak-anak supaya mengurangkan pengambilan snek ini 
                              (tidak lebih daripada sekali seminggu):
· Makanan yang berminyak, mengandungi banyak lemak dan garam, seperti pisang goreng,burger,sosej,nuget goreng dan kentang goreng.
·  Makanan dan minuman manis dan mengandungi banyak gula seperti air sirap,kordial buah-buahan,minuman berkarbonat,gula-gula dan kuih-muih manis.
·  Makanan yang mengandungi banyak garam dan perisa, seperti kerepek/keropok,dan snek dengan perasa tiruan.

Tips untuk Mengurangkan Pengambilan Kalori dalam Diet Seharian


 Untuk mengurangkan pengambilan kalori, dua tips mudah yang harus diamalkan ialah:
                                                                     i.      Mengurangkan pengambilan minuman manis
                                          ii.      Mengurangkan pengambilan makanan bergoreng




     Hal ini kerana, minuman yang manis mengandungi kalori. Sebagai contoh, segelas teh ais
     yang dibancuh menggunakan 3 sudu susu pekat manis mengandungi 90kcal. segelas teh ais
     membekalkan jumlah tenaga yang lebih kurang sama dengan 1 biji pisang berangan, 1
     potong buah tembikai susu, dan 1 biji limau manis. Walaupun jumlah tenaga ynag
     dibekalkan adalah sama, namun jumlah nutrien yang terdapat didalam buah adalah jauh
     lebih tinggi jika dibandingkan dengan segelas teh ais. Selain itu, buah juga memberikan
     rasa kenyang yang lebih berbanding teh ais. Hal ini kerana, buah mempunayai serat
     yang mana memerlukan masa yang agak panjang untuk diproses dan ini memberikan
     kekenyangan untuk jangka masa yang panjang.




      Makanan bergoreng pula dikategorikan dalam makanan yang mempunyai kalori yang tinggi. 
      Hal ini kerana, makanan yang digoreng akan menyerap minyak sewaktu proses         
      menggoreng. Minyak terdiri daripada lemak yang mana membekalkan tenaga yang
      tinggi. makanan yang bergoreng ini selalu menjadi pilihan kerana amat menyelerakan
      dan lebih mudah untuk disediakan. Sebagai contoh, pisang goreng dan popia goreng
      yang mana masing-masing membekalkan 131 kcal (untuk 3 keping) dan 113 kcal (untuk                  
      1ketul). Tetapi, selalunya seseorang individu biasanya akan makan 5-6 keping pisang  
      goreng yang mana kalorinya adalah sebanyak 262kcal. Jika seorang individu itu makan
      seketul popia goreng, 3 keping pisang goreng dan segelas teh ais untuk minum pagi,
      individu tersebut telah mengambil sebanyak 334 kcal. Jumlah kalori bagi hidangan ini
      adalah tinggi jika dibandingkan dengan jumlah nutrien yang ada di dalamnya.






      Oleh itu, seeloknya makanan yang bergoreng dan minuman yang manis seharusnya
      dielakkan. Selain menyumbang kalori yang banyak, ia juga mempunyai kandungan lemak
      yang banyak. Sebaiknya, makanan yang pelbagai mengikut piramid makanan harus di  
      ambil. Dalam entri sebelum ini, ada menerangkan cara untuk menjadikan piramid
      makanan sebagi panduan dalam memilih makanan yang seimbang. Makanan yang di
      ambil mestilah terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran penuh, kekacang,
      dan sumber protein tanpa lemak. Makanan ini merupakan makanan yang mempunyai
      kalori yang rendah dan mempunyai tinggi nutrisi yang diperlukan untuk tubuh.
      Pengambilan makanan yang terdiri daripada makanan diproses, makanan bergoreng,       
      makanan segera, gula ringkas dan lain-lain makanan yang berkalori tinggi haruslah
      dielakkan. Tetapi, apa juga jenis makanan mestilah diambil dalam jumlah yang jumlah
      yang sederhana.  




Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More