Apa itu “diet fad”
Diet fad atau
diet kegemaran merupakan cara pemakanan yang paling popular. Tiada maksud yang
tetap untuk menggambarkan ‘diet fad’ yang sebenar. Diet kegemaran ini selalu
menjanjikan penurunan berat badan yang cepat tanpa memerlukan masa yang lama namun ia boleh ditakrifkan dengan bersifat sementara. Oleh yang demikian, diet
ini tidak berkesan untuk mengekalkan berat badan yang ideal dalam jangka masa
yang lama selain mendatangkan kesan buruk yang mampu memudaratkan pengamalnya.
Ia amat berbeza dengan amalan jangka panjang yang disarankan oleh panduan
pemakanan Malaysia (MDG 2010) yang menggabungkan perlakuan, pemakanan dan
aktiviti untuk menurunkan badan dengan selamat selain menjalani kehidupan yang
sihat.
1.
Pertambahan berat badan
Diet fad sering mendakwa bahawa diet tersebut mampu munurunkan berat
badan dengan cepat tanpa perlu melalui usaha yang banyak. Walaupun kenyataan
ini mampu menarik minat orang ramai, namun kesan sebenar diet fad adalah
mencurigakan. Pakar kesihatan telah menyatakan bahawa cara untuk menurunkan
berat badan yang ideal adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan
bersenam dan diet yang seimbang dalam jangka masa lama. Apa yang penting,
sesuatu perubahan memerlukan masa yang lama dan bukan dengan mengambil jalan
yang singkat. Berat badan akan hilang seperti yang dijanjikan dalam sesebuah
diet fad namun berat yang hilang kebanyakannya adalah air di dalam badan dan
bukannya lemak. Sekiranya seseorang itu berhenti mengamalkan diet tersebut dan
kembali ke kehidupan yang asal, berat badan akan bertambah dengan pantas malah
mungkin lebih berat berbanding berat yang terdahulu. Ini kerana, pada ketika
itu tubuh mula untuk mengimbangi kandungan air yang hilang di dalam tubuh.
2.
Kadar metabolism berubah
Sesetengah diet fad yang menyuruh si pengamal untuk memakan jumlah makanan dalam kuantiti serta jadual yang ditetapkan mungkin menganggu sistem metabolisma semula jadi di dalam tubuh iaitu kemampuan memberitahu tubuh waktu untuk mula (lapar) dan berhenti makan secara semulajadi. Jika proses ini terganggu, ia akan memudaratkan tubuh dan akan berlarutan dalam jangka masa yang lama selepas berhenti mengamalkan diet tersebut.
3.
Kekurangan zat makanan
Diet fad selalunya melarang pengamalnya untuk mengambil sesetengah nutrient yang penting untuk tubuh badan seperti karbohidrat dan lemak. Karbohidrat atau glukosa merupakan sumber tenaga yang utama terutama bagi kawasan otak bagi mengelakkan rasa letih dan tubuh dapat berfungsi dengan baik. Untuk pengetahuan, bukan semua lemak adalah tidak baik. Sesetengah lemak adalah bagus untuk tubuh seperti lemak tunggal tidak tepu (MUFA) serta lemak poli tidak tepu (PUFA) yang membantu untuk mengurangkan kolestrol di dalam badan. Selain itu, omega-3 dan omega-6 yang tergolong di dalam kumpulan PUFA penting untuk menghasilkan DHA, EPA, dan nutrient yang lain untuk kesihatan otak dan mata selain mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit yang berbahaya seperti penyakit jantung, kanser, Alzheimer, arthritis dan kemurungan.
4.
Kehilangan rambut dan otot
Kekurangan zat terutama protein akan
menyebabkan rambut gugur dan otot hilang. Rambut yang tidak sihat akibat
kurangnya pemakanan protein akan mengakibatkan terhasilnya rambut rapuh seterusnya menyebabkan rambut
tersebut pecah dan gugur. Selain itu, kehilangan otot turut disebabkan oleh
kekurangan protein melalui pengamalan diet fad. Oleh kerana diet fad
mengandungi kalori yang rendah akibat pengurangan beberapa zat seperti
karbohidrat dan lemak, badan terpaksa menggunakan sumber zat yang lain di dalam
tubuh untuk ditukar menjadi tenaga. Salah satu caranya adalah dengan
menggunakan protein yang tersimpan di dalam otot. Menghilangkan berat badan
melalui cara ini amat berbahaya kepada tubuh kerana otot terpaksa bekerja untuk
mengeluarkan protein walaupun ketika berehat. Selain itu, penghasilan ketone yang terjadi daripada pertukaran tenaga selain daripada karbohidrat (lemak dan protein) sangat berbahaya kepada tubuh kerana menyebabkan penyakit buah pinggang terutamanya.
Langkah-langkah untuk mengenal pasti “fad diet”
· Ia mendakwa dapat menurunkan berat badan dengan pantas
· Dakwaan yang terlalu bagus untuk benar-benar berlaku
· Makanan dibahagikan kepada ‘baik ‘ dan ‘buruk’
· Memerlukan vitamin dan mineral serta produk makanan tambahan
· Menolak kumpulan makanan utama (bijirin, lemak, susu, buah-buahan dan sayur-sayuran)
· Kekurangan kajian saintifik untuk menyokong keberkesanan dan keselamatan sesebuah diet
· Menolak zat makanan yang penting seperti karbohidrat, protein dan lemak
· Tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau bersukan
· Dicipta oleh seseorang yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan berat badan
Sesebuah diet bergantung kepada penghalangan satu atau lebih sesetengah zat pemakanan sebagai asas kepada diet tersebut. Malah, terdapat diet yang membenarkan kumpulan makanan dan nutrien dalam kuantiti yang banyak atau tanpa halangan. Walau bagaimanapun, pengurangan kalori atau tenaga daripada apa yang badan perlukan menjadi faktor penting atau penyebab di dalam sesebuah diet untuk menurunkan berat. Oleh itu, diet yang mendakwa sebaliknya mungkin akan menyebabkan pertambahan berat.
ü Pemakanan yang sihat mengikut panduan Malaysia Dietary Guidelines (MDG 2010)
ü Pengurangan kalori
ü Mengurangkan pemakanan lemak (lemak tepu dan lemak trans)
ü Meningkatkan pemakanan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin penuh
ü Meningkatkan jumlah aktiviti (sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari)
ü Melakukan sekurang-kurangnya aktiviti yang sederhana (contoh: berkebun, berbasikal, aerobic)
Secara
keseluruhan, cara terbaik untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya
dengan baik adalah dengan menggabungkan diet yang seimbang serta aktiviti
fizikal yang yang berterusan seperti yang disarankan di atas. Tiada istilah
makanan yang baik mahupun buruk serta meninggalkan sesetengah nutrien dan
mengamalkan nutrien yang lain. Apa yang penting ialah amalan pemakanan itu sendiri iaitu apa dan
bagaimana anda makan. Selain itu, mengamalkan kesederhanaan dan mempelbagaikan
jenis makanan juga penting untuk menjalani kehidupan yang sihat.
0 comments:
Post a Comment