Wednesday, 12 December 2012

Rawatan Obesiti melalui Ubat-ubatan


Rawatan Obesiti melalui Ubat-ubatan

Orlistat
Orlistat (Xenical) merupakan ubat primer untuk merawat masalah obesiti. Ubat ini berfungsi sebagai perencat enzim lipase dengan merencat enzim lipase yang dihasilkan oleh perut dan pancreas. Enzim lipase bertindak kepada sistem pencernaan tubuh dengan memecah molekul-molekul lemak yang dimakan kepada molekul yang lebih kecil. Bagaimanapun, orlistat mengurangkan  pemecahan molekul-molekul lemak agar molekul-molekul tersebut tidak dihadam oleh sistem tubuh. Penyerapan lemak dapat dikurangkan sehingga 30% melalui pengambilan ubat ini. Hal ini menyebabkan berat badan pengguna dapat dikurangkan. Bagaimanapun, ubat ini mempunyai kesan sampingan kepada sistem pencernaan tubuh. Antaranya ialah meningkatkan kekerapan membuang air besar, kehadiran lemak dalm air besar dan mengurangkan tahap kemampuan menahan air besar. Selain itu juga, pengambilan orlistat mengganggu penyerapan vitamin A, D, E dan K, dan beta-karotene.


Rimonabant
Rimonabant (Acomplia) merupakan ubat sekunder anti-obesiti. Ubat ini menghalang reseptor cannabinoid-1 (CB1). Reseptor ini terletak di dalam otak, tisu lemak, sistem penghadaman, hati dan otot. Dengan menghalang pengaktifan reseptor ini dapat mengurangan selera makan, mengawal rasa lapar dan mengelakkan penghasilan lemak pada tubuh. Pengambilan rimonabant juga meningkatkan paras HDL dalam darah. Kesan sampingan ubat ini kepada pengguna ialah rasa mual, pening kepala, muntah-muntah, cirit-birit, paras gula rendah dalam darah dan keletihan.


Phentermine dan diethylpropion
Phentermine dan diethylpropion meningkatkan tahap norepinephrine dan dopamine di dalam otak dengan meningkatkan pembebasan neurotransmitter tersebut daripada pangkal saraf serta menghalang pengambilan kembali norepinephrine dan dopamine daripada pusat saraf. Secara ringkas, ubat ini mengurangkan selera makan pesakit melalui pengawalan sistem saraf. Kesan sampingan akibat pengambilan ubat ini ialah pening kepala, insomnia, sembelit dan kekeringan mulut. Ubat ini juga meningkatkan kadar tekanan darah dan degupan jantung.




Sibutramine
Sibutramine (Meridia) bertindak menghalang pengambilan kembali serotonin, norepinephrine dan dopamine daripada pusat saraf. Seperti phentermine dan diethylpropoin, sibutramine mengelakkan penggunanya daripada makan secara berlebihan dengan menyekat selera pengguna melalui pengawalan sistem saraf. Pengambilan ubat ini dilarang kepada pengguna ubat-ubatan perencat serotonin dan pengguna ubat-ubatan anti-migrain. Pengambilan sibutramine juga meningkatkan risiko serangan jantung dan strok bagi pengguna yang mempunyai sejarah sakit jantung.



 AWAS!!
Kaedah ini hanyalah dilakukan melalui saranan dan kebenaran doktor. Penggunaan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan tanpa pengawasan doktor boleh mengundang kepada kesan sampingan. Walaubagaimanapun, cara yang terbaik untuk merawat obesiti ialah melalui pemakanan yang sihat dan seimbang serta aktif melakukan aktiviti fizikal.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More