Monday, 24 December 2012

Diet Fad???

Apa itu “diet fad”


Diet fad atau diet kegemaran merupakan cara pemakanan yang paling popular. Tiada maksud yang tetap untuk menggambarkan ‘diet fad’ yang sebenar. Diet kegemaran ini selalu menjanjikan penurunan berat badan yang cepat tanpa memerlukan masa yang lama namun ia boleh ditakrifkan dengan bersifat sementara. Oleh yang demikian, diet ini tidak berkesan untuk mengekalkan berat badan yang ideal dalam jangka masa yang lama selain mendatangkan kesan buruk yang mampu memudaratkan pengamalnya. Ia amat berbeza dengan amalan jangka panjang yang disarankan oleh panduan pemakanan Malaysia (MDG 2010) yang menggabungkan perlakuan, pemakanan dan aktiviti untuk menurunkan badan dengan selamat selain menjalani kehidupan yang sihat.

Keburukan diet fad


1.       Pertambahan berat badan
Diet fad sering mendakwa bahawa diet tersebut mampu munurunkan berat badan dengan cepat tanpa perlu melalui usaha yang banyak. Walaupun kenyataan ini mampu menarik minat orang ramai, namun kesan sebenar diet fad adalah mencurigakan. Pakar kesihatan telah menyatakan bahawa cara untuk menurunkan berat badan yang ideal adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam dan diet yang seimbang dalam jangka masa lama. Apa yang penting, sesuatu perubahan memerlukan masa yang lama dan bukan dengan mengambil jalan yang singkat. Berat badan akan hilang seperti yang dijanjikan dalam sesebuah diet fad namun berat yang hilang kebanyakannya adalah air di dalam badan dan bukannya lemak. Sekiranya seseorang itu berhenti mengamalkan diet tersebut dan kembali ke kehidupan yang asal, berat badan akan bertambah dengan pantas malah mungkin lebih berat berbanding berat yang terdahulu. Ini kerana, pada ketika itu tubuh mula untuk mengimbangi kandungan air yang hilang di dalam tubuh.

2.       Kadar metabolism berubah

Sesetengah diet fad yang menyuruh si pengamal untuk memakan jumlah makanan dalam kuantiti serta jadual yang ditetapkan mungkin menganggu sistem metabolisma semula jadi di dalam tubuh iaitu kemampuan memberitahu tubuh waktu untuk mula (lapar) dan berhenti makan secara semulajadi. Jika proses ini terganggu, ia akan memudaratkan tubuh dan akan berlarutan dalam jangka masa yang lama selepas berhenti mengamalkan diet tersebut.

3.       Kekurangan zat makanan

Diet fad selalunya melarang pengamalnya untuk mengambil sesetengah nutrient yang penting untuk tubuh badan seperti karbohidrat dan lemak. Karbohidrat atau glukosa merupakan sumber tenaga yang utama terutama bagi kawasan otak bagi mengelakkan rasa letih dan tubuh dapat berfungsi dengan baik.  Untuk pengetahuan, bukan semua lemak adalah tidak baik. Sesetengah lemak adalah bagus untuk tubuh seperti lemak tunggal tidak tepu (MUFA) serta lemak poli tidak tepu (PUFA) yang membantu untuk mengurangkan kolestrol di dalam badan. Selain itu, omega-3 dan omega-6 yang tergolong di dalam kumpulan PUFA penting untuk menghasilkan DHA, EPA, dan nutrient yang lain untuk kesihatan otak dan mata selain mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit yang berbahaya seperti penyakit jantung, kanser, Alzheimer, arthritis dan kemurungan.

4.       Kehilangan rambut dan otot
Kekurangan zat terutama protein akan menyebabkan rambut gugur dan otot hilang. Rambut yang tidak sihat akibat kurangnya pemakanan protein akan mengakibatkan terhasilnya rambut rapuh seterusnya menyebabkan rambut tersebut pecah dan gugur. Selain itu, kehilangan otot turut disebabkan oleh kekurangan protein melalui pengamalan diet fad. Oleh kerana diet fad mengandungi kalori yang rendah akibat pengurangan beberapa zat seperti karbohidrat dan lemak, badan terpaksa menggunakan sumber zat yang lain di dalam tubuh untuk ditukar menjadi tenaga. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan protein yang tersimpan di dalam otot. Menghilangkan berat badan melalui cara ini amat berbahaya kepada tubuh kerana otot terpaksa bekerja untuk mengeluarkan protein walaupun ketika berehat. Selain itu, penghasilan ketone yang terjadi daripada pertukaran tenaga selain daripada karbohidrat (lemak dan protein) sangat berbahaya kepada tubuh kerana menyebabkan penyakit buah pinggang terutamanya.

Langkah-langkah untuk mengenal pasti “fad diet”

·         Ia mendakwa dapat menurunkan berat badan dengan pantas
·         Dakwaan yang terlalu bagus untuk benar-benar berlaku
·         Makanan dibahagikan kepada ‘baik ‘ dan ‘buruk’
·         Memerlukan vitamin dan mineral serta produk makanan tambahan
·         Menolak kumpulan makanan utama (bijirin, lemak, susu, buah-buahan dan sayur-sayuran)
·       Kekurangan kajian saintifik untuk menyokong keberkesanan dan keselamatan sesebuah diet
·         Menolak zat makanan yang penting seperti karbohidrat, protein dan lemak
·         Tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau bersukan
·         Dicipta oleh seseorang yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan berat badan

Sesebuah diet bergantung kepada penghalangan satu atau lebih sesetengah zat pemakanan sebagai asas kepada diet tersebut. Malah, terdapat diet yang membenarkan kumpulan makanan dan nutrien dalam kuantiti yang banyak atau tanpa halangan. Walau bagaimanapun, pengurangan kalori atau tenaga daripada apa yang badan perlukan menjadi faktor penting atau penyebab di dalam sesebuah diet untuk menurunkan berat. Oleh itu, diet yang mendakwa sebaliknya mungkin akan menyebabkan pertambahan berat.

Pengurusan berat yang berkesan bergantung kepada:




ü  Pemakanan yang sihat mengikut panduan Malaysia Dietary Guidelines (MDG 2010)
ü  Pengurangan kalori
ü  Mengurangkan pemakanan lemak (lemak tepu dan lemak trans)
ü  Meningkatkan pemakanan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin penuh
ü  Meningkatkan jumlah aktiviti (sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari)
ü  Melakukan sekurang-kurangnya aktiviti yang sederhana (contoh: berkebun, berbasikal, aerobic)

Secara keseluruhan, cara terbaik untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya dengan baik adalah dengan menggabungkan diet yang seimbang serta aktiviti fizikal yang yang berterusan seperti yang disarankan di atas. Tiada istilah makanan yang baik mahupun buruk serta meninggalkan sesetengah nutrien dan mengamalkan nutrien yang lain. Apa yang penting ialah amalan pemakanan itu sendiri iaitu apa dan bagaimana anda makan. Selain itu, mengamalkan kesederhanaan dan mempelbagaikan jenis makanan juga penting untuk menjalani kehidupan yang sihat. 

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More